Tuesday, July 26, 2005

leinad (babak 3)

Semalam dia mahukan udang, makanan kegemarannya, makanan laut. Lalu dia membawanya ke tasik itu. Suatu ketika ia begitu masyhur, buainya tidak berhenti berayun, pengunjungnya berduyun. Suatu ketika orang berkayak di situ, berpesta, bersuka-suka dengan keluarga, dengan yang tercinta. Suatu ketika. Kini ia tidak segah dulu, tidak semeriah dulu. Mujur juga ada restoran itu, adalah juga yang mengunjungi tasik itu. Kiranya tasik itu punya perasaan sepertinya, pasti ia sepi. Terus menanti hari meniti. Kiranya tasik itu punya kata-kata, pasti tiada terucap apa-apa. Terus akur bersama pijar-pijar alpa. Kiranya tasik itu punya ingatan, apakah mungkin ia lupakan segala kenangan?

Seboleh mungkin dia tidak mahu terperangkap dalam situasi begitu, yang memestikan dia memberikan jawapan yang kelabu. Merana badan menanggung beban. Menanggung segala sendirian. Baiknya ada kenangan. Mungkin boleh mengubat hati yang rawan bila keseorangan.

+ Puas?

- Puas bang.

+ Mahu ke sini lagi?

- Ke sini kalau nak makan udang. Tapi ke sini bila tak ramai orang.

+ Kenapa? Malu kalau diperhatikan berjalan dengan abang?

- Bukan.

+ Kalau bukan?

- Lebih aman tanpa ramai orang. Lebih ruang.

Sepanjang berjalan di bibir tasik, dia melihat sekeliling, gelap tapi tak kelam, sunyi tapi tak suram, begitu tenang, rasa dan raga terus diselam. Dan kakinya terus memijak rerumput dingin. Basah, mungkin hujan turun siangnya. Subur rerumput itu. Dan dia terus berjalan, sambil berharap agar rumput itu kan terus subur sebegitu walaupun mungkin dipijak , sambil kepalanya mendongak ke langit membilang bintang yang terus berkerdipan.

1 comment:

Anonymous said...

ni ha, blog aku, jangan lupa go tru..(kesian aku, masuk shortcuts astro prima pun ko tak tahu)