Wednesday, January 11, 2006

racau

Dialog I (dialogku)

Apabila ku berlari, kurasakan begitu perlahan, seakan berjalan. Apabila kuberjalan, kurasakan begitu perlahan, seakan merangkak. Apabila ku merangkak, kuarasakan lumpuh. Pancaroba yang merasuk setiap makhluk bergelar manusia. Mengeringkan perasaan, tandus kemahuan.

Apabila mulutku melafazkan hasrat, hatiku membakar semangat. Apabila bibirku mengucapkan kata, jiwaku membara lara. Inikah dia manusia? Atau hamba? Apabila kupinta dipujuk, apakah aku dikata merajuk? Kalau kumahu membisik, apakah ada yang mahu merisik? Mendengar keluhanku? Luahan yang bukan dari bibir tapi dari hati? Lalu apabila dua birbirku dirapatkan, apakah bermaksud kudiam? Mungkin ungkapan yang terbit dari bibir lebih didengari daripada jeritan batin yang tiada bersuara. Memangnya sering keliru, bukankah ia biasa?

Dialog II(dialog hati)

"Humbankan saja yang terbuku di sini. Hidup lebih penting daripada melayan rasa dan raga. Tiadakah kau kerja lain selain bertutur dengan jiwa? Apakah perlu semua itu? Kau arif bukan? Bahawa suaraku tidak didengari sesiapa kecuali olehmu sendiri? Itupun, kalau kau memilih untuk mendengariku. Usaha khuatir, jangan mengasihaniku, jangan sesekali menaruh simpati terhadapku. Memangnya aku tidak biasa berkata-kata kerana aku selesa dengan hanya berbisik. Padaku, itu adalah biasa."

Dialog III (dialog mata)

"Jarang dapat aku melihatmu. Lebih mudah untuk kumelihat orang lain, mereka yang berdepan denganmu, yang bertutur denganmu. Tidak kira tutur itu daripada apa yang ada pada mereka. Jadi, kubiar saja kau melihat dirimu sendiri. Kau juga tidak pernah berbicara denganku. Kau lebih senang berbicara dengan hati, sedangkan kau boleh melihatku kalau itu yang kau mahu. Pilihan ada pada dirimu. Cuma, aku makrif bahawa segala tindakanmu dikawal oleh hatimu. Mengapa begitu? Mengapa tidak kau biarkan saja akalmu sesekali merawatmu? Bukankah itu kelebihan yang ada padamu? Pada semua manusia? Atau, kau tidak biasa?"

Dialog IV (dialogku)

Ku belajar, ku diajar. Menggunakan arca, menggunakan akal. Memilih antah daripada beras. Agar keputusan tepat dan deras. Cuma, aku tidak lagi percayakan akal, lantaran akal penuh muslihat, sedangkan hati sarat azimat. Maka jangan menyalahkan, sekiranya pilihan atas anganan. Bosanku pada kebiasaan. Bosan pada kebosanan yang biasa. Lalu, kumemilih yang luar dari biasa.