Wednesday, April 05, 2006

leinad (babak 5)

Mengapa harus jadi begini? Segala kebaikan bagai dilupakan, lalu zahirlah bermacam kesilapan, yang bagai diciptakan demi memuaskan sedetik perasaan yang mungkin terbit di luar kawalan fikiran.

Dia menyayanginya. Sememangnya dia menyayanginya. Ada harapan kecil di dalam hatinya agar dia mengerti akan kasih sayangnya. Tapi dia hanya boleh berharap, dia tidak boleh menjangka.

Dulu dia tidak begitu, apakah yang mungkin merasuk mindanya? Ah... dia tidak mahu membabitkan sesiapa, menyalahkan sesiapa; tetapi nalurinya begitu kuat berbicara. Bukankah selama ini hanya dia bersamanya? Tanpa kehadiran orang ketiga? Dia menyukai kedua-duanya tetapi nalurinya bagai menolak-nolak dan menidak-nidak. Perlukah dibiarkan naluri bersuara?

+ Jangan fikir yang abang menghalang.

- Saya rasa terkongkong.

+ Niat bukan untuk mengongkong, tapi demi kebaikan. Harus menjadi orang baik-baik, berjaya dalam hidup.

- Saya rasa terkongkong. Tidak bebas. Mengapa saya tidak boleh berkawan dengan orang baru?

+ Jangan salah faham. Bukan melarang membuat kawan, cuma berpesan agar tidak termakan segala kebaikan yang mungkin mengaburkan, yang selalunya datang dari mereka yang lebih dewasa lebih berpengalaman.

- Saya terkongkong.

+ Semua ini demi kebaikan, ya, mungkin ia disalahertikan. Tapi percayalah, semua ini kerana sayang.

- Kenapa mengongkong?

+ Maafkan abang jika itu yang dirasakan. Bukan niat untuk menjadi penghalangmu dalam meniti keremajaan.

Mungkin nanti jika dia tiada, akan berbicaralah seorangan. Akan terus dia berpesan pada dirinya sendiri - Jika hati sejernih air, jangan biarkan ia keruh. Jika hati seputih awan, jangan biarkan ia mendung. Jika hati selembut salju, jangan biarkan ia jadi batu. Moga dia tahu, moga dia tahu, moga dia tahu...