Bukan tidak sayang tapi hati berbelah bahagi. Semua ini bagai mimpi. Antara budi antara balasan. Antara cinta antara sayang. Antara ya antara bukan. Betapa jauh kaki melangkah. Berapa lama fikiran bercanggah. Banyak mana detik bersama. Banyak mana igauan menjelma. Dia mahu selamanya. Semuanya. Namun dia manusia yang biasa. Tiada yang istimewa.
Dan dia teruskan langkah. Meniti titi yang kukuhnya tiada pasti. Menyusur masa meninggalkan pengalaman. Harapannya ia abadi dalam kenangan. Tidak luput ditelan zaman. Biar hujan tak basah. Biar panas tak lekang. Biar rendam tak masam. Walang tak muram.
Dia sedar, menilai biar tenang, hati budi perlu diselam, agar tidak terus tenggelam. Dia juga sedar, detik hanya ruang. Kiranya dia hilang, bukan bererti tiada. Sering juga dia gusar, kalau-kalau tersasar. Gelisah, bila dia resah. Takut kalau-kalau dia pergi, terus berlari. Takut kalau kasih sayang tidak lagi subur, harapan terus terkubur. Banyak persoalan belum terungkai. Siapa membelai, siapa dibelai. Dalam diam dia melagukan pantun lama, mengingatkan dirinya agar tidak terus lena - anak kumbang terbang merayap,jatuh tercungap di dalam tangki, hendak terbang tiada bersayap, hendak hinggap tiada berkaki.
No comments:
Post a Comment