Sebegitu lama dia tidak menghubunginya. Semuanya angkara perselisihan faham yang tidak pernah sebenarnya menjadi perselisihan. Semuanya angkara seseorang bernama kawan yang dianggapnya sahabat. Selama itulah dia mendapati dirinya mengagumi orang-orang lama, yang menciptakan pepatah "harapkan pagar, pagar makan padi" serta istilah mudah orang-orang baru, "kawan makan kawan".
Sebegitu lama dia meletakkan kesalahan terhadap orang yang bergelar kawan, orang yang dia gelari sahabat. Selama itulah juga dia menyalahkannya. Lantaran dialah yang menghubungi orang bergelar kawan, orang yang digelarinya sahabat itu. Sebegitu lamalah juga dia tidak menyedari akan hakikat bahawa sebelah tangan yang bertepuk tak kan berbunyi.
Dia lemas. Lemas dalam kekeliruan. Tenggelam dalam keresahan. Kesedihan yang membaluti fikiran. Keliru apakah dia menyukai kawannya yang dianggapnya sahabat. Tenggelam dalam membuat andaian apakah dia memilih seseorang yang lebih berada. Sedih apabila mengagak bahawa dia mungkin sudah bosan terhadapnya.
Lalu dia memutuskan untuk memutuskan perhubungan yang dibina daripada kasih sayangnya itu. Perhubungan yang sekian lama dipupuk dengan luhur tanpa noda, walaupun hakikatnya dia sering dirasuk noda itu. Namun, dia bukan orangnya yang memilih untuk menagih. "Rasa kasih seharusnya datang dengan rela, tanpa paksa, tanpa meminta" - berkali-kali dia cuba untuk tidak melupakan ungkapan hatinya itu.
Dia sedar, air yang mengalir ada kalanya tidak terus mengalir, kerana ada ketika alirannya disekat oleh longgokan tanah dan sampah. Biarlah dia terus menjadi tebing yang menjaga air itu daripada melimpah, dan biarlah kawannya yang dianggapnya sahabat sebagai sampah yang seketika menghalang aliran itu.
Dia sedar, tiba ketikanya, air itu akan mengalir lagi, lebih deras menuju ke muara, di mana dia akan setia menanti.