Baru beberapa hari, tetapi bagaikan beberapa minggu. Biasalah begitu kalau merindu. Hati terus menanti. Kalbu terus menunggu.
- Tapi dia hanya menghubungimu apabila mahukan sesuatu?
+ Kata siapakah begitu?
- Alam dan sekitar biasanya bercerita.
+ Kau aneh.
- Kau rasa ada yang bernama aneh dalam hidup?
+ Pelik.
- Juga tiada.
+ Mengapa begitu bicaramu?
- Kerana yang ada adalah Mungkin.
+ Aku tahu rasanya sama seperti ragaku.
- Menyayangi?
+ Ya.
- Merindui?
+ Ya.
- Mengasihi?
+ Ya.
- Kepastiannya?
+ Tiada yang pasti dalam hidup bukan?
- Harus pandai memilih antah daripada beras.
Benar juga. Sampai bila mahu terus berharap? Sampai mana mahu terus lena? Pasti sampai saatnya juga mata hati harus dibuka. Apakah sayang perlu dibiar melayang? Kasih dibiar pedih?
Ahh... biar terus berteka. Bukankah itu namanya kehidupan? Bukankah kesamaran itu lumrah perjalanan? Dan bukankah perjalanan itu ada akhiran?